KAWAN
Dalam menyusuri kehidupan seharian, kita sudah tentu tidak boleh lari dari berhadapan dan mengenali seseorang. Bahkan, setiapkali bila keluar rumah ataupun pulang dari kerja, kita lalui jalan yang penuh dengan orang ramai. Ada yang kita kenali. Ada, tidak. Dan ada pula, yang baru pertama kali kita nampak. Hidup bukan bersendirian, begitulah. Namun orang yang kita kenali itu, cuma datang dan pergi sahaja seperti sebuah panorama jalan yang kita lalui itu tadi. Bahkan, tidak memberi sebarang erti pun buat kita. Mereka adalah kenalan sahaja yang tak pernah meninggalkan rasa rindu di hati. Apatah lagi, untuk kembali, walau hanya untuk sekelumit sendu, ataupun menghapuskan airmata yang jatuh ke pipi. Barangkali, kita bukan seseorang yang berada di status istimewa pada mata dia. Tapi, tiada salah kan jika kaitan yang lahir di antara dia dengan kita, adalah kawan meskipun kita cuma terserempak ditengah jalan.
Sesetengah orang memberitahu, betapa sulitnya mencari kawan. Untuk memiliki seseorang kawan itu, adalah satu pencarian buatnya. Dan dia terlalu berhati-hati dalam pencarian itu. Seseorang itu hendaklah memenuhi kritria-kritria tertentu untuk dianggap kawan. Bolehjadi juga, dia mengindamkan seorang kawan yang elok dari segi paras-rupa. Cantik. Lawa. Berduit. Punya mobil dan pelbagai lagi. Jadi, jika kita bukan orang itu maka, siapa lagi kita buat dia. Hidup ini bukanlah bersendirian. Hidup ini tidak perlu harus ada kesepian di hati. Kenapa begitu? mestikah harus begini: 'Beralih pada yang lain, sedangkan hati terlalu inginkan dia menjadi kawan kita', sedangkan kita bukanlah seorang yang memilih. Mengapa perlu ada sepi dan penantian pula buat kita agar membolehkan kita menghampiri dan berkawan dengan seseorang seperti dia?
Masa berlalu. Rintik-rintik hujan yang jatuh di luar sesekali terbias bersama rindu ke wajah, sekian lama tidak bertemu. Kita rindukan kawan. Rindukan tingkah suaranya. Gurauannya. Senyumannya. Namun pada waktu yang sama juga, ada pula orang lain yang mengeluh. Bosan, akan kehadiran seseorang itu dalam hidupnya.
Masa berlalu. Suara-suara. Senyuman-senyuman. Dan wajah-wajah yang pernah kita kenal ada yang masih kita lihat. Ada, tidak. Ada pula baru nampak. Kenangan adalah terlalu mahal untuk kita kembalikan semua bagai dulu. Ada sesetengahnya, seolah-olah seperti sebuah potret lama dibalik bingkai kaca. Kita hanya boleh melihat tapi takkan mampu menyentuhnya. Apatah lagi, untuk mengalaminya semula.
Klik pada link di bawah ini, jika berminat untuk mendengarinya

Ulasan